Wednesday, January 26, 2011

Epilog anak-anak Omar (Kidz Omar)

Aku ingat nak post sesuatu yang aku baru dapat hari ini
Satu kejadian yang berlaku di negara jiran Malaysia iaitu negara Indonesia
Tapi sebelom nak post, aku terbace satu nota di dalam Facebook
Seseorang yang saye kenal


Hurmmm,..xpe la
Aku post dulu pasal kisah di Indonesia tu
Di publish kat satu blog
Tajuk post tu pon menarik perhatian aku
"Mayat Balik Rumah"
Di post pada 7 April 2010
Agak-agak pe korang fikir bile dengar tajuk nie??
Aku pikir tajuk nie same je macam dalam cerita Mastika or cerita-cerita hantu yang lain
Hanya cerita but tak ada fakta
Tapi bila aku tekan kebawah
Aku terpandang sekeping gambar
Gambar mayat seorang wanita tua berambut panjang berdiri tanpa ada apa-apa benda yang boleh m'buatkannya berdiri
Dengan latar belakang sebuah kampung
Di belakang gambar ada keranda
Maybe tok mayat tu
Aku pon tertarik dengan tajuk nie
Ada something different dari cerita-cerita lain yang selalu ada


Aku copy paste je la ape yang blog tu tulis
*tok bacaan korg je, xd niat nak m'ciplak


" Di Kg Toradja (Indonesia) terdapat satu ilmu yg luar biasa dimana mereka boleh menjadikan mayat berjalan pulang ke rumah sendiri. Kejadian berlaku disebuah daerah pendalaman Indonesia yg berbukit bukau. Jika ada kematian di kg Toradja maka mayat itu akan diberi kuasa hipnotisme supaya simati boleh pulang berjalan kaki dan hanya berhenti bila sampai dirumahnya. Kuasa ini dibuat supaya tidak menyusahkan orang kampung dari mengurus mayat tersebut.


**merujuk kepada yang sahih, perkara ini memang maujud. salah satu punca sihir yang diamalkan di seberang. rasa2nya jenis syaitan yang terjebak dalam perkara ini bernama Timun. Syaitan ini telah di-invoke oleh pemujanya agar ia menggerakkan Qarin (pendamping si mati) supaya melakukan tugas2 yang disuruh. seperti menggerakkan mayat dan sebagainya. Upacara syirik dan Khurafat ini sebenarnya masih berlelualasa di TANAH TORAJA, INDONESIA. Dengarnya bukan hanya manusia. Bahkan binatang ternakan seperti ayam, kerbau dan babi juga boleh kelihatan bernyawa walaupun ditetak sehingga mati. Binatang yang dibunuh secara kejam kemudian dihidupkan dengan pemujaan sering dibuat pertunjukan katanya."


Aku tak sangka plak negara Indonesia masih mengamalkan ilmu sihir cam nie
Bukan semua la tapi di sesetengah tempat
Negara Indonesia bagi aku masih lagi misteri
Hutan negara Indonesia banyak lagi benda yang tersembunyi
Sebelum blog aku nie wujud aku ad terbace satu kisah
Di dalam hutan nun jauh kedalam negara Indonesia masih ada puak yang memakan manusia
Siap tunjuk dengan gambar lagi
Tetapi kesahihannya aku tak dapat buktikan lagi


Aku besarkan lagi gambar tu tok korang tengok dengan lebih jelas
hahaha
Aku kalo benda-benda pelik + fakta nie aku memang cukup suke,.. =)
Korang rase nie mayat ke? Aku rase ya,..tgk tangan mayat perempuan tua tu!




p/s: ape-ape maklumat lanjut atau ingin mengetahui kisah yang lebih detail bleh pergi ke link ini
http://anaktokai.blogspot.com/2010/04/mayat-balik-rumah.html


Berbalik kepada cerita di facebook tadi
Nick name dalam facebook orang tu ialah Kidz Omar (anak-anak Omar)
hahaha
First time aku add orang tu as my facebook friend, nick name dia pon dh bwat aku tertarik
Macam ada sesuatu kisah di sebalik nama itu
Kenape orang tu pakai name "Kidz Omar"??
Yang membawa maksud anak-anak Omar
Ape yang membuatkan orang tu bangga menggunakan nama tu
dari first time aku add orang tu setahun yang lepas sampai sekarang orang tu tak pernah ubah nama
(awal-awal aku add mybe orang tu pakai name sebenar dia then tukar kepada nama sekarang,..setahu aku la)
Bangganya orang tu dengan ayah die
Tentu ayah orang tu amat begitu bermakna bagi orang tu an?

Orang tu lecture aku semasa aku semester 2
Mengajar subjek Plant Propagation and Nursery Management (HTR 2054)
4jam kredit hour means 2jam lecture, 4jam practical
Status subjek: Core
Memang enjoy la masuk kelas die
hahaha
Antara orang yang aku respect!!
Cepat mesra, sporting, tak pilih kasih & macam-macam lagi lah
Korang mesti nak bace an??
Aku copy paste tok korang k


P/s: saye mintak maap sir Khidir. Copy paste tanpa mintak kebenaran tetapi kalo cerita nie kita boleh share, lebih banyak manfaat dari buruknye. Saya tak akan mengubah satu ayat pon. Sir jangan risau,..^_^


-------------------------------------------------

MY STORY TO SHARE..
by Kidz Omar on Wednesday, January 26, 2011 at 11:34pm
Liku-liku kehidupan seorang hamba Allah SWT


Keluarga yang bahagia menjadi idaman setiap orang (gambar hiasan)
            
Allah SWT tidak akan menguji seseorang tu diluar kemampuannya. Terdapat pelbagai jenis manusia di muka bumi ini masing-masing telah tertulis qada’ dan qadarnya sebaik sahaja dilahirkan di dunia. Itulah janji Allah SWT kepada hamba-hambaNya. Ada dikalangan hambaNya yang diuji dengan pelbagai dugaan dan cabaran dalam mengharungi kehidupan seharian. Terdapat juga hambaNya yang kurang diuji. Oleh yang demikian, seharusnya hamba yang diuji dengan hebat menunjukkan rasa syukur kerana Allah SWT itu masih sayang dan mengingati hambaNya. Janganlah menganggap dugaan dan cabaran yang diterima merupakan beban semata-mata dan menganggap Allah SWT itu tidak adil. Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya. Manakala yang mengharungi kehidupan ini dengan senang-lenang, dicucuri dengan rezeki dan rahmat yang tidak putus-putus maka janganlah lupa diri dan meninggalkan suruhanNya dan melakukan laranganNya. Ingat, segala perbuatan kita di dunia ini pasti menerima balasan samada di dunia atau di akhirat.





Mr. Khidir B. Omar a.k.a Kidz Omar
            Atas kesempatan ini aku mahu berkongsi kisah hidupku agar menjadi pedoman dan teladan untuk sahabat-sahabat seagamaku. Bapaku bernama Omar Bin Mohd bekerja sebagai penjaga elektrik di salah sebuah syarikat swasta yang terletak di Shah Alam. Manakala ibuku bernama Masitah Binti Abdul Rahman merupakan seorang jururawat yang bekerja di wad kanak-kanak di salah sebuah hospital kerajaan di Klang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah. Ibu bapaku menetap di sebuah rumah sewa di sekitar Klang. Setelah kira-kira setahun berkahwin mereka dikurniakan cahaya mata pertama, iaitu kakakku yang diberi nama Khairunnisa bermaksud sebaik-baik wanita yang lahir pada 12 Febuari 1984. Kira-kira setahun kemudian lahirlah aku, anak kedua diberi nama Mohd Khidir yang lahir pada 14 Ogos 1985 namaku merupakan nama salah seorang Nabi di mana Allah SWT memerintahkan Nabi Musa untuk berguru dengan Nabi Khidir. Memandangkan ibu bapa kami bekerja, mereka menghantar kami ke rumah pengasuh yang juga merupakan jiran sebelah rumah kami.  Begitulah rutin harian ibu bapaku di mana pagi kami dihantar ke rumah pengasuh dan di sebelah petang kami diambil setelah ibu bapaku tamat bekerja sehinggalah akal fikiranku mula berfungsi untuk mengingati dan memahami sesuatu perkara. Hubungan kami adik beradik memang rapat bagaikan aur dengan tebing. Tetapi kadang-kala bergaduh juga. Biasalah, kanak-kanak. Namun kami cepat berbaik, mana tidaknya pejam celik jumpa orang yang sama sahaja. Zaman kanak-kanak kami, bapaku yang aku rasa amat pelindung sifatnya, melarang kami untuk bermain bersama dengan kanak-kanak jiran. Ini kerana pada pengamatannya kanak-kanak jiran yang agak kurang baik budi perkertinya. Biasalah, kanak-kanak. Kami turutkan sahaja kamahuan bapaku kerana bapaku juga seorang yang garang. Pernah juga beberapa kali aku dirotan di telapak tangan dan punggung kerana nakal. Kakakku begitu juga. Setelah dirotan, emak tempat kami mengadu. Ibuku seorang yang penyayang. Tidak pernah sekali merotan, apatah lagi mencubit kami. Kemarahannya terhadap kami hanya diekspresikan dengan teguran. Itulah serba sedikit sifat emakku. Walaupun begitu, kami tetap bermain dengan kanak-kanak jiran di luar pandangan mata bapaku. Terpaksa bermain curi-curi. Di depan mata bapaku kami berlagak tidak berkawan dengan kanak-kanak jiran walaupun terserempak di depan mata. Agak pandai di situ kami berpura-pura. Apa hendak dibuat, naluri seorang kanak-kanak yang ingin berkawan. Tetapi seorang bapa mengetahui apa yang dilakukan oleh anak-anaknya di luar pandangan matanya. Dengan itu, untuk meminimumkan waktu bermain di luar, bapaku membeli video game dan dipasang di tv. Itulah menjadi hiburan kami. Bapa kami turut bermain video game. Kadang-kala tempoh dia bermain mengalahkan kami. Punyalah lama. Hendak mencelah takut dimarah. Maka kami biarkan sahaja dia bermain sehingga bosan.





            Begitulah rona kehidupan kami sekeluarga sehinggalah ketika aku berusia tujuh tahun dan kakakku berusia lapan tahun ibu dan bapaku dikurniakan seorang lagi cahaya mata lelaki yang diberi nama Mohd Ilyas yang lahir pada 5 haribulan Jun 1992. Pada ketika ini jugalah aku belajar membahasakan diri sebagai abang di mana dahulunya aku membahasakan diri sebagai adik dan kakakku digelar sebagai along kini digelar kakak. Kehidupan berjalan seperti biasa dan pada tahun berikutnya aku mendapat seorang lagi adik. Nama diberi Nurul Hidayah yang lahir pada 23 September 1993 juga merupakan adik bongsu kami. Ketika ini aku merasakan kehidupan ini sungguh indah dan bahagia sehinggakan aku pernah ponteng sekolah pagi selama sebulan tanpa pengetahuan ibu dan bapaku semata-mata hendak berada dirumah untuk bermain permainan video, menonton filem kegemaranku  iaitu ‘Police Academy’, dan sitcom 2+1yang dirakam oleh bapaku yang mempunyai perakam video pada waktu itu. Kurasakan seperti kata pepatah, rumahku, syurgaku. Aku lebih suka duduk terperap dirumah daripada keluar ke mana-mana.





<span> </span>Namun begitu, kebahagiaan yang aku rasakan selama ini tidak berkekalan apabila ibuku disahkan oleh doktor menghidap kanser payudara. Aku berumur lapan tahun ketika itu dan aku tidak memahami keadaan sebenar ibuku yang menderita akibat kanser payudara kerana ibuku tidak sedikit pun menunjukkan tanda-tanda yang dia sedang menderita. Apabila aku berumur sembilan tahun, aku mula menyedari bahawa ibuku sakit. Tetapi aku masih tidak tahu betapa seriusnya penyakit kanser ini. Seringkali aku melihat bapaku membawa ibuku pergi berubat secara tradisional di merata tempat. Kadang kala aku juga pernah mengikut mereka pergi berubat. Pelbagai jenis manusia telah aku jumpa dari yang mengamalkan perubatan islam sehingga pengamal perubatan yang menggunakan kemenyan. Bapaku pernah beritahu pada aku dan kakakku bahawa pihak hospital telah menemui jalan buntu untuk merawat penyakit ibuku. Maka dengan itu bapaku memutuskan untuk cuba rawatan alternatif. Rawatan demi rawatan dilakukan pada ibuku sehingga satu ketika sewaktu aku berada di kampung Muar Johor, pada waktu malam ibu bapaku baru pulang dari berubat aku terlihat tatkala ibuku menjejakkan kakinya ke tanah dan mula berjalan ibuku terus rebah ke tanah. Aku menjerit "mak" dan terus berlari ke luar mendapatkan ibuku. Air mataku mengalir keluar melihat keadaan ibuku yang lemah dan tidak berdaya. Dari air mukanya dapat kulihat bertapa seksanya ibuku menanggung kesakitan. Namun, aku tidak berdaya berbuat apa-apa.


Membawa ibuku pergi berubat sudah menjadi rutin harian kehidupan kami. Bapaku tidak pernah sekali berputus asa untuk menyembuhkan ibuku seperti sedia kala. Pada ketika ini aku mula menyedari rambut-rambut ibuku mulai gugur kesan daripada radioterapi. Tetapi aku tidak memahami apakah sebabnya. Fikiran seorang budak yang berumur sembilan tahun yang masih belum dapat mentafsir perkara yang berlaku. Suatu hari aku dan kakakku sedang bermain-main dengan adik beradikku, tiba-tiba ibuku memanggil, kami berjalan ke arahnya dan menanti apa yang hendak dicakapnya. Suasana suram ketika ini. Ibuku diam seketika kemudian berkata, "idir, nisha, kalau mak mati jaga adik-adik, kalau abah marah jangan lari dari rumah", mengalir air matanya ketika berkata demikian. Aku dan kakakku tersentak, terus kami memeluknya sambil berkata, "mak, kenapa cakap macam tu?". Ibuku senyap, hanya esakkannya kedengaran sambil memeluk erat kami berdua. Masa berlalu, keadaan ibuku semakin serius, dia tidak mampu lagi berdiri dan menguruskan diri sendiri. Aku dan kakakku bergilir-gilir menguruskannya. Kakakku yang lebih banyak menguruskan ibuku kerana fikirannya yang lebih matang. Walaupun begitu, kerana kasih sayangnya pada anak-anak, ibuku cuba sedaya upaya untuk berdiri sendiri kerana tidak mahu dirinya membebankan orang lain. Pernah satu ketika bapaku berkata, dia terlihat ibuku cuba berjalan perlahan-lahan sambil kedua belah tapak tanganya dilekapkan ke dinding untuk menyokongnya berjalan. Bapaku berlari mendapatkannya dan pimpinnya ke bilik air sambil bertanya ibuku hendak ke mana. Ibuku berkata dia mahu mengambil wuduk. Aku amat menyanjungi ibuku, dalam kesakitan dan penderitaan yang ditanggung ibuku tidak pernah lupa untuk mengerjakan seruan Ilahi. Saban hari penyakit ibuku semakin serius. Namun begitu kehidupan perlu diteruskan, dengan perasaan yang berat bapaku terpaksa menghantar ibuku ke kampung, rumah nenekku kerana perlu bekerja untuk member keluarga sesuap nasi dan untuk membayar perbelanjaan perubatan ibuku. Manakala aku dan kakakku perlu bersekolah kerana telah sekian lama kami ponteng sekolah. Dua orang adikku dihantar ke rumah pengasuh kami. Di saat ini aku dan kakakku belajar berdikari dan menguruskan diri sendiri. Ak belajar memasak, membasuh baju, menguruskan urusan pendaftaran sekolah, dan sebagainya. Kadang kala kami pernah ditinggalkan sendirian di rumah kerana bapaku yang terpaksa bergegas pulang ke kampung untuk melihat keadaan ibuku. Kami makan roti dan air milo sahaja kerana bapaku kadang kala terlupa memberikan duit belanja. Namun kami tidak pernah bersungut kerana mengerti kesusahan dan dugaan kami sekeluarga. Sewaktu cuti sekolah sabtu dan ahad kami dibawa pulang ke kampung untuk melihat keadaan ibuku. Ketika tiba di kampung, aku menghampiri ibuku dan memanggilnya "mak". Sedih rasanya ibuku tidak mengenali diriku sebagai anaknya. Aku diberitahu oleh makcik sedara bahawa penyakit kanser ibuku telah merebak ke sel-sel otak dan mengakibatkan kanser otak atau barah otak setelah didiagnos oleh doktor di hospital kerajaan Muar. Ketika ini aku tahu bahawa penyakit ibuku telah sampai ke tahap serius dan kritikal.





<span> </span>Pada 31 Mac 1995, aku dan kakakku bersekolah seperti biasa walaupun fikiran ini sering melayang teringatkan keadaan ibuku. Tiba-tiba aku diminta oleh guru kelas untuk pulang ke rumah, katanya bapaku telah meminta kebenaran pihak sekolah untuk membenarkan kami pulang awal ke rumah. Aku tidak mengesyaki apa-apa kerana dalam hati ini melonjak gembira kerana dibenarkan pulang awal. Setibanya kami di rumah, aku lihat wajah bapaku serius. Bapaku mengarahkan kami untuk bersiap-siap untuk pulang ke kampung. Kami menurut. Sebelum pulang ke kampung, bapaku singgah di rumah pengasuh untuk mengambil adik-adikku dan bapaku menjemput pengasuh kami, gelaran makcik Yah mengikut pulang ke kampung untuk menjaga adik-adikku yang masing-masing berumur 2 dan  3 tahun. Dalam perjalanan ke kampung suasana sunyi sepi dalam kereta. Tiada sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut kami semua. Bapaku terus memandu ke hospital Muar. Pada sangkaan aku, bapaku mahu menjemput ibuku pulang setelah sembuh menerima rawatan di hospital. Hatiku sedikit girang ketika itu. Ketika melangkah masuk ke dalam wad, aku terasa suasana sekitar agak murung. Aku sangka ibuku akan menyambut kedatangan kami semua, namun sangkaanku meleset sama sekali apabila aku terlihat nenekku sedang menangis tersesak-esak di hadapan sekujur tubuh yang tidak bergerak, kaku. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa sedihnya ketika itu aku rasa. Aku menangis semahu-mahunya di hadapan jasad ibuku yang telah meninggalkan kami sekeluarga selamanya. Ya Allah, Kau telah mengambil seorang insan yang paling aku sayangi, pada siapa aku hendak mengadu nasib dan mengharap kasih seorang ibu? 10 tahun sahaja aku berkesempatan untuk hidup bersama dengan ibuku. Aku redha. Ketika upacara pengebumian dilakukan, dengan cuaca pada ketika itu mendung dengan titisan-titisan air yang halus membasahi bumi seperti juga meratapi pemergian ibuku adikku Ilyas yang berumur tiga tahun bertanya kepada pengasuh dan bapaku, “nape mak duduk situ?”, dia tidak mengerti. Bapaku mendekati dan mendukungnya sambil berkata, “iyas, mak tidur kat situ, nanti mak bangun la”, orang ramai yang menyaksikan ketika itu turut bersedih melihat kami sekeluarga. Air mataku semakin laju mencucuri keluar tidak dapat menahan sebak. Sebelum keranda diturunkan ke liang lahad, aku sempat mencium dahi ibuku buat kali terakhir. Aku melihat jasad arwah ibuku diturunkan ke dalam liang lahad sehingga tanah dikambus tidak berganjak. Aku ingin lihat sepuas-puasnya kerana ini kali terakhir aku melihat arwah ibuku.





<span> </span>Tinggallah kami lima sekeluarga tanpa kehadiran ibu tercinta. Aku cuba untuk mengadaptasi dengan apa yang berlaku. Kira-kira lima bulan setelah pemergian arwah ibuku, bapaku berkata kepada aku dan kakakku bahawa dia akan berkahwin dan kami akan mendapat emak baru yang bernama Jamilah Bt. Yusof. Kami terpana. Namun tiada sepatah perkataan keluar dari mulut kami berdua. Bapaku menyatakan bakal ibu tiri kami merupakan seorang janda anak satu, sedara sahabat rapatnya. Bapaku membawa kami adik beradik bertemu dengan bakal ibu tiri kami di Negeri Sembilan. Aku berasa agak cemas kerana rata-rata orang berkata ibu tiri adalah seorang yang kejam, selalu mendera anak tirinya apabila suami tiada di rumah, dan pelbagai lagi perkara negatif mengenai ibu tiri pernah aku dengar. Apabila aku bersua muka dengan bakal ibu tiriku, tanggapan pertama aku menyatakan yang dia sama sekali berbeza seperti apa digambarkan orang. Setelah beberapa hari pertemuan, berlangsunglah majlis pernikahan kecil-kecilan yang dihadiri kaum keluarga terdekat sahaja. Bapaku menyuruh kami memanggilnya emak. Pada mulanya amat berat pada aku dan kakakku untuk menyebut perkataan emak pada seseorang yang baru dikenali kerana perkataan emak itu hanya layak digunakan pada insan yang telah mengandungkan kita selama sembilan bulan dan membesarkan kita. Namun aku cuba juga memanggilnya emak kerana keikhlasannya menjaga kami sekeluarga dan mencurah kasih sayang seorang ibu kepada adik-adikku jelas ternyata. Kehidupan kami sekeluarga lengkap kembali dengan kehadiran seorang insan yang aku panggil emak. Anaknya yang lima tahun lebih muda dari aku juga tinggal bersama kami sekeluarga. Namun begitu kasih yang dicurahkan lebih ke anak sendiri. Aku tidak menyalahkannya, begitulah naluri seorang ibu ke atas anak sendiri.


Setelah kira-kira enam tahun perkahwinan, aku melihat ibu tiriku sering tidak sihat sehingga dimasukkan ke wad di salah sebuah hospital swasta di kos rawatannya ditanggung oleh syarikat bapaku bekerja. Doktor mengesahkannya menghidap paru-paru berair tetapi tidak serius. Setelah beberapa hari, keadaannya semakin baik dan doktor membenarkan ibu tiriku dibawa pulang ke rumah. Sewaktu di rumah, sedang aku duduk dengannya di ruang tamu tiba-tiba ibu tiriku berkata, "Haritu orang depan meninggal, lepas tu orang belakang, lepas ni orang kat tengah pula," merujuk kepada dirinya. Hatiku tidak senang mendengarnya berkata demikian dan aku berkata, "kenapa cakap macam tu? Tak elok la mak." Suasana senyap seketika. Selang beberapa hari, kesihatannya bertambah teruk ketika dirumah dan akhirnya keluarga sebelah ibu tiriku memutuskan untuk membawanya pulang dan cuba rawatan tradisional di kampung. Tinggallah kami adik beradik di rumah sendirian seperti ketika arwah ibuku menderita akibat penyakit barah. Bapaku kerap kali berulang-alik dari Negeri Sembilan ke Klang. Aku berdoa sendiri, "Ya Allah, panjangkanlah umur ibu tiriku ini. Sembuhkanlah penyakitnya." Aku tidak sanggup untuk menerima kehilangan seorang lagi insan yang penting dalam hidup aku yang bergelar emak. Kakakku yang ketika itu akan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran kerana bimbang pada ibu tiriku. Aku menelefon ibu tiriku untuk bertanyakan khabar. Ibu tiriku berkata dia semakin sihat. Lega hatiku mendengar kata-katanya. Maka aku pun menjalani kehidupan seperti biasa hilang segala kerisauan yang bersarang di benak fikiranku. Pada 27 November 2001 iaitu setelah tiga hari berlalu, telefon rumahku berdering, aku mengangkat ganggang dan letak di telingaku. Berdebar hatiku mendengar tangisan adik ibu tiriku mengatakan bahawa ibu tiriku telah meninggal dunia. Hancur luluh hati ini kurasa mendapat berita yang paling tidak aku harapkan. Kami sekeluarga bergegas pulang ke Negeri Sembilan. Setibanya kami ke kampung, nenek tiriku terus menerpa ke arah bapaku memeluknya sambil meraung. Perasaan sebak dalam diriku tidak dapat kutahan lagi melihat adegan yang sungguh menyayat hati. Aku lepaskan sahaja air mata ini melihat tubuh ibu tiriku yang berselimut kain batik, kaku. Jelas kelihatan tubuhnya yang susut akibat dari penyakitnya. Berbeza sekali wajah ibu tiriku ketika kali terakhir aku menatap wajahnya sebelum pulang ke kampung. Pagi esoknya upacara pengebumian dijalankan. Selesai talkin dibaca, semua orang beredar meninggalkan kawasan perkuburan. Tinggal kakakku duduk di hadapan pusara ibu tiriku. Sayu hatiku melihat kakakku seperti berat untuk meninggalkan pusara arwah ibu tiriku. Terlalu banyak jasa yang diberikan oleh arwah ibu tiriku kepada kami sekeluarga.





<span> </span>Sekembalinya kami di rumah di saat untuk menenangkan fikiran, kakakku mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran di matrikulasi bertempat di Kolej Teknologi Timur, Sepang. Setelah pemergian kakakku ke matrikulasi, aku merasakan berat tanggungjawab yang perlu dijalankan sebagai anak yang paling tua di rumah. Aku berusia 17 tahun ketika ini, belajar di tingkatan lima mengambil jurusan sains tulen dan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Aku belajar untuk menguruskan diri sendiri, mengurus adik-adik, memasak, membasuh, mengemas rumah, belajar, dan sebagainya. Pendek kata rutin harianku amat padat semenjak kematian ibu tiriku dan pemergian kakakku ke matrikulasi untuk menyambung pelajaran. Di dalam kepadatan rutin harianku, aku bersyukur kepada Allah kerana aku merupakan antara pelajar terbaik SPM di sekolahku dan dapat tawaran untuk menyambung pelajaran ke Kolej Matrikulasi Gopeng, Perak jurusan sains hayat setelah kira-kira satu bulan keputusan SPM dikeluarkan. Sementara menunggu hari pendaftaran, aku bekerja di pasaraya Mydin untuk membantu bapaku menyara keluarga. Bapaku ketika ini sudah tidak bekerja semenjak kira-kira dua tahun lepas kerana kilangnya telah ditutup. Bapaku diberi pampasan sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam syarikat. Kira-kira Ringgit Malaysia seratus ribu lebih diberikan kepada bapaku. Walaupun begitu, duit digunakan seperti air deras yang mengalir ditambah pula dengan ditipu oleh kontraktor yang mengubahsuai rumah kami, dan sebagainya.





<span> </span>Bulan 6 tahun 2003 keluargaku menghantar aku mendaftar di Kolej Matrikulasi Gopeng, Perak. Bermulalah satu lagi episod dalam hidup aku di mana aku perlu menguruskan hidup sendiri tanpa kehadiran keluarga di sisi. Pembelajaranku berjalan lancar sepanjang waktu aku di sini. Cuma pada awalnya agak susah bagi aku untuk menyesuaikan diri dengan cara pembelajaran di sini, tambahan pula aku sekelas dengan pelajar-pelajar dari sekolah bestari seperti Sekolah Menengah Sains Pokok Sena, MRSM, dan KISAS. Aku seorang sahaja yang datang dari sekolah harian biasa. Namun, aku berjaya menyesuaikan diri dengan cara pembelajaran mereka. Setelah 6 bulan berada di sini, aku lihat ramai kaum keluarga yang datang menjenguk anak-anak mereka, bersalam, dan berpelukan sesame keluarga. Alangkah bahagianya sekiranya aku dilayan sedemikian. Terdetik rasa cemburu melihat kebahagian keluarga rakan-rakanku. Memandangkan keluargaku tinggal di Selangor dan bapaku tidak mempunyai kerja tetap telah membataskan keluargaku untuk berjumpa denganku.  Sepanjang pembelajaranku di sini hanya sekali bapaku menjejakkan kaki di sini iaitu sewaktu menghantar aku dan setelah tamat pengajian aku diambil oleh jiran rumahku. Namun, aku tidak kisah, aku redha. Aku faham keadaan keluargaku dan tidak menyalahkan bapaku. Sewaktu aku berada di semester dua, bapaku menyatakan hasrat untuk berkahwin lagi dengan alasan ada orang akan menjaganya apabila dia jatuh sakit. Aku terdiam. Aku berkata sendiri, bapaku telah menduda selama kira-kira dua tahun. Aku sangka keinginannya untuk berkahwin sudah terkubur. Hati aku juga telah tertutup untuk menerima orang baru dalam keluarga kami tambahan lagi orang itu yang akan kupanggil emak. Tidak sanggup untuk aku menyatakan bahawa aku tidak setuju dengan perkahwinannya kali ini. Aku Cuma berkata, “Terpulanglah abah, kalau abah rasa itu yang terbaik abah teruskanlah”. Berlangsunglah pernikahan bapaku dengan ibu tiriku yang kedua di Thailand tanpa kehadiran kami adik beradik dan saudara terdekat. Ini kerana bapaku berkahwin dengan warga asing yang menggunakan visa pembantu rumah sebagai alasan untuk tinggal di Malaysia.





<span> </span>Setelah beberapa hari mereka pulang ke rumah. Aku juga pulang dari perak untuk melihat ibu tiriku yang kedua. Beberapa bulan setelah perkahwinan mereka, kami sekeluarga sering bertengkar kerana tidak bersefahaman. Ibu tiriku ini sering membuat perkara kecil menjadi besar. Tidak pernah sekali pun dia mengakui kesilapannya walaupun ia jelas ternyata. Kulihat dia tidak menghormati bapaku sebagai suaminya. Sering meninggi suara apabila bercakap dengan bapaku, sering bangga diri, mengatakan dirinya pandai, sering berkata keburukan orang lain, berkata bapaku bodoh, dan sebagainya. Kami semua sering dicemuh, dicaci, dimaki, dan dimarah kerana tidak mengikut kata-katanya. Padanya, hanya dia sahaja yang betul dan semua orang salah. Pakcik dan makcikku yang pernah bertemu dengannya akan bertanya pada aku dan kakakku kenapa bapaku memilih calon isteri sedemikian? Dan tidak seorang pun sedara kami yang menyenanginya. Semua berpesan kepada kami agar bersabar dengan apa yang dilakukannya, fikirlah mengenai bapaku. Namun kesabaran ada batasnya. Aku dan kakakku jarang pulang ke rumah kerana merasakan seperti bukan berada di rumah sendiri sekiranya ibu tiriku ada. Kami hanya pulang untuk melihat keadaan adik-adik dan bapa kami sahaja. Bapaku pesan pada kami adik beradik untuk menyimpan segala barang-barang peribadi kerana takut ibu tiriku akan membuat perkara tidak baik pada kami. Bapaku pernah berkata bahawa dia menyesal dengan keputusan yang dilakukan iaitu berkahwin dengan warga asing kerana mendengar kata kawannya yang aku rasa ada sesuatu yang tidak kena. Aku dan kakakku sering berkata pada bapaku, “abah, kalau abah rasa menyesal perkahwinan ini kenapa tidak bercerai sahaja?”.  Aku tahu tidak elok meruntuhkan rumah tangga, Allah marah, makruh. Namun terdapat hukum bila waktunya perceraian itu menjadi wajib. Sering kali kami memberitahu perkara ini pada bapaku. Tetapi aku tidak tahu apa yang membelengu dan membantutkan bapaku daripada berbuat demikian. Aku pasrah. Beginilah kehidupan yang terpaksa aku lalui dengan hati yang amat berat. Pernah suatu ketika sewaktu hari raya pertama dimana umat islam bermaaf-maafan, kami sekeluarga berperang besar. Semuanya gara-gara ibu tiriku yang tidak mahu menyambut tangan kakakku untuk bersalam meminta maaf dan mengatakan yang dia tidak akan memaafkan kami semua sambil dia mencemuh dan mencaci ibu tiriku yang kedua. Masih jelas di fikiranku apa yang dikatanya, “ahh, pergilah minta ampun dengan mak kau dalam tanah tu”, sambil dia ketawa jahat. Ya Allah begitu hebatnya ujian yang Kau beri. Panasnya telinga ini mendengar cemuhan demi cemuhan, makian dan cacian dilemparkan pada kami semua. Keluar semua apa yang aku simpan selama ini di hati gara-gara untuk menjaga hati bapaku. Kali ini sudah lebih, aku tidak mampu untuk simpan lagi, maka berperanglah aku dan kakakku dengan ibu tiriku ini yang aku lebih senang memanggilnya ‘perempuan tu’.





<span> </span>Setahun sudah aku belajar di Kolej Matrikulasi Gopeng Perak, aku pulang ke rumah dan menunggu panggilan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti. Berat hatiku untuk pulang ke rumah terpaksa bersemuka dengan ibu tiriku di rumah yang seakan bukan rumahku lagi kerana ‘perempuan tu’ sudah berani membawa entah siapa datang ke rumah, dan bapaku menjadi ‘driver’nya. Biarlah, malas aku hendak fikir. Aku lebih bahagia tinggal di asrama berbanding di rumah. Kira-kira dua bulan kemudian aku mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di Universti Putra Malaysia (UPM) program Bacelor Sains Hortikultur dan mendapat bantuan penuh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Walaupun pembelajaranku dibiayai oleh PTPTN, sebahagian daripada wang kuterima aku gunakan untuk membeli barang dapur bagi membantu meringankan beban bapaku di rumah mempunyai pendapatan yang tidak tetap. Ibu tiriku bekerja di restoran tetapi jarang sekali dia ingin membantu meringankan beban bapaku. Kalau dia bantu, pasti akan diungkit kembali. Jelas menunjukkan dia tidak ikhlas. Berkahwin dengan bapaku semata-mata hendak mendapatkan taraf warganegara Malaysia. Setiap kali cuti semester, aku pasti bekerja sambilan di pasaraya Tesco berdekatan dengan rumahku untuk menambahkan perbelanjaan aku apabila semester baru bermula juga membantu bapaku membeli keperluan rumah. Pernah sekali sewaktu ‘perempuan tu’ mahu pulang ke kampung halamannya, dia meminta bapaku wang, tetapi bapaku sendiri tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli tiket kapal terbang. Maka dia menyuruh bapaku meminjam wang daripada aku dan kakakku. Tak tahu malu, kami ini yang sering dicaci dan dimaki kenapa nak minta wang dari kami? Sudah ludah, jilat kembali, lembut gigi dari lidah. Sering dia berkata bahawa dia seorang yang kaya, mempunyai sedara yang kaya raya, pengaruh kuat, dan sebagainya. Aku dan kakakku berkata, kenapa tak pinjam daripada sedara dia yang kaya raya itu? Semua itu tipu belaka! Oleh kerana aku sering bekerja, tambahan lagi aku mendapat wang dari PTPTN, bapaku meminta dari aku sebanyak RM300. Aku bertanya pada bapaku untuk apa duit tersebut walaupun aku tahu siapa yang meminta. Bapaku berkata untuk kegunaan dia sendiri. Aku berikan juga. Kemudian bapaku menghantar sms pada aku mengatakan “you work so hard to support your study, but i simply ask your money for my own sake”.. aku membalas, “dad, it’s ok. That is the least i can do to repay you since you’ve raised me hardly from baby til now. I don’t mind dad, no need to pay the money back”. Dan bapaku membalas, “you are my son, i don’t know what i will be without you”. Setiap kali cuti semester, ‘coursemate’ aku selalu juga bertanya “kenapa kau tak balik rumah dir? Padahal rumah dekat”. Mana tidaknya Klang dengan Serdang bukan jauh mana. Tapi aku selalu menjawab, “malaslah, rumah dekat ape kisah?” sambil aku tertawa. Kebanyakan ‘coursemate’ aku tidak tahu sejarah hidup aku dan bagaimana kehidupan aku waktu itu. Hanya teman-teman rapat sahaja yang tahu. Tinggallah aku sendirian di asrama Kolej 14 UPM setiap kali cuti pertengahan dan cuti semester. Aku pulang juga ke rumah tetapi sewaktu cuti hendak tamat kerana kakakku yang juga berlajar di UPM ketika itu sering berpesan pada aku agar pulang ke rumah tengok abah dan adik-adik, jangan biar ‘perempuan tu’ bermaharajalela di rumah kita. Aku menurut. Betul juga kata kakakku.





<span> </span>Begitulah kehidupan aku sehingga aku tamat pengajian di UPM pada bulan April tahun 2008. Pada ketika ini bapaku sudah tidak berapa kuat dan sihat. Sering kali keluar masuk hospital. Doktor mengesahkan bahawa buah pinggang bapaku telah mengalami kerosakan tahap tiga daripada lima. Doktor menasihati bapaku untuk kurangkan minum air. Jika tidak air berlebihan dalam badan akan terkumpul di kaki dan menyebabkannya bengkak. Pada bulan Mac 2008 bapaku mencapai umur 55 tahun. Ibu tiriku menyuruh bapaku mengeluarkan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan alasan dia mahu pulang ke kampung halamannya. Bapaku menurut, malas bertengkar. Pulanglah Ibu tiriku ke negaranya dengan membawa sejumlah wang yang banyak. Aku tidak tahu berapa jumlah wang yang dimintanya. Aku juga malas bertanya dan mengambil tahu pasal ibu tiriku. Pada waktu ini aku merasakan fikiranku sangat lapang dan tenang tanpa kehadiran ibu tiriku di rumah. Aku ditawarkan kerja sebagai ‘Plantation Executive’ di Negeri Sembilan. Aku minta tangguh untuk lapor diri kerana keadaan kesihatan bapaku yang tidak mengizinkan kerana pada waktu ini bapaku ditahan wad dan tiada siapa menjaganya. Kakakku bekerja sebagai ‘Software Engineer’ setelah tamat pengajian di UPM pada tahun 2007 dalam program Bacelor Sains Komputer. Dialah satu-satunya sumber kewangan keluarga kami pada ketika ini. Adik-adikku pula masing-masing belajar di tingkatan 3 dan tingkatan 4. Aku sahaja yang tiada apa-apa komitmen, maka aku membuat keputusan untuk menjaga bapaku di hospital. Penyakit bapaku semakin lama semakin serius. Setelah doktor membuat x-ray untuk melihat jantung bapaku, doktor berkata bahawa tiga salur utama di jantung bapaku telah tersumbat akibat daripada kolestrol berlebihan dalam badan. Doktor mengesyorkan dua cara untuk merawat peyakit yang dihidap bapaku tetapi dengan keadaan bapaku yang lemah ditambah pula dengan kegagalan fungsi buah pinggang yang telah mencapai tahap tiga rawatan tersebut tidak boleh  dilakukan kerana berisiko tinggi. Maka bapaku hanya bergantung kepada ubat sahaja untuk menyambung nyawa. Bapaku dibenarkan pulang apabila keadaannya semakin stabil. Aku memutuskan untuk menolak tawaran kerja demi menjaga bapaku. Kami adik beradik berganti-ganti menjaga bapaku. kakakku tidak mampu untuk menanggung perbelanjan perubatan bapaku maka aku bekerja di Seven Eleven sebagai Management Trainee untuk membantu kakakku. Oleh kerana komitmen kerja yang agak banyak, aku hanya bekerja sebulan sahaja dan aku mengambil keputusan untuk berhenti dan menjaga bapaku. Kemudian aku bekerja secara part-time promoter di Music Valley di Jusco yang berdekatan dengan rumahku di sebelah malam untuk membantu kakakku menanggung perbelanjaan rumah dan ubat-ubatan bapaku. Aku menjaga bapaku di siang hari manakala kakakku menjaga di malam hari. Keadaan bapaku semakin teruk apabila dia tidak mampu lagi berdiri dan menguruskan diri sendiri. Sebagai anak lelaki yang tua, kencing beraknya aku yang uruskan.  Suatu hari bapaku mengadu sukar bernafas, aku dan kakakku bergegas membawanya ke hospital serdang untuk mendapatkan rawatan. Setelah diberi suntikan dan dimasukkan air keadaan bapaku kembali stabil. Begitulah rutin kehidupan bapaku sering kali keluar masuk hospital. Kami adik beradik bergilir berjaga di wad sehingga kami kenal dengan semua staff di wad jantung hospital Serdang. Pernah sekali sewaktu giliran aku menemani bapaku di wad, aku tertidur di kerusi sebelah katilnya. Apabila aku tersedar, aku dapati terdapat selimut menyeliputi tubuh aku. aku terasa sebak dan terharu, dalam kesakitan bapaku sempat menyelimutkan aku. Gugur titisan air mataku melihat bapaku ketika itu. Sehinggalah pada 5 Disember 2008 hari jumaat, aku bekerja seperti biasa di malam hari. Tiba-tiba aku mendapat panggilan daripada adik perempuanku  mengatakan bapaku sedang tenat. Hatiku berdebar dan aku meminta kebenaran supervisor untuk pulang awal. Dalam perjalanan ke hospital aku singgah rumah dan mengambil adik lelakiku. Setibanya aku di hospital sekali lagi aku terima panggilan daripada adik perempuanku dan aku mendengar suara tangisan adik perempuanku sambil mengatakan yang bapaku sudah tiada lagi. Lemah lututku mendengar berita ini. Aku sangat terkilan kerana tidak berada di sisinya ketika bapaku menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sebelum hayatnya berakhir, hidupnya banyak dihabiskan bersama aku berada di sisinya menemani dan menjaganya.  Namun aku beruntung kerana aku berpeluang menjaganya seperti mana bapaku menjaga aku semasa aku masih kecil walaupun bapaku tidak berpeluang merasa duit aku hasil pekerjaan yang setaraf dengan pendidikan yang aku terima di Universiti. Bapaku pernah meminta semasa hayatnya supaya kebumikan jasadnya di kawasan perkuburan ibuku. Aku tunaikan permintaan terakhirnya dibantu oleh saudara mara sebelah bapaku di Muar.





<span> </span>Tidak lama setelah bapaku pergi meninggalkan kami buat selamanya, aku mendapat tawaran bekerja dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA). Aku amat bersyukur pada Allah SWT. Ramai sahabatku berkata itu adalah rahmat yang aku terima sepanjang pengorbanan aku menjaga arwah bapaku. My journey continue.."

Tak sabar-sabar aku nak bace kisah selanjutnya
Di balik keceriaannya wajahnya terpendam sejuta kisah duka, sedih, pedih dan kadang kala gembira
Aku beruntung di temukan dengan insan ini
Walau pon kecewa sedikit sebab tahu cerita nie melalui facebook
bukan dari mulutnya sendiri

Pesanan Mr. Kidz Omar " ape yang nak saya sampaikan kat sini hargai ibu bapa kita dan berbakti pada mereka selagi masih berpeluang..ape yang berlaku dalam hidup saya dulu membentuk diri saya kini.."

1 comment:

  1. yes he is my friend.. lucky you to know him well..

    ReplyDelete